Wednesday, 30 May 2012

Jerawat? Kesihatan?



Oh..Tidak! Jerawat. Kebanyakan orang pernah naik jerawat di muka tidak kira besar atau kecil. Kalau tengok cermin mesti tidak sah kalau anda tidak belek-belek muka, nampak jerawat mulalah rasa sakit hati dan geram kan? Itu perkara biasa.


Ada setengah orang cakap jerawat ini menyusahkan dan memalukan bila sudah naik banyak-banyak di muka. Sampai ada yang sanggup tidak mahu keluar rumah bila muka berjerawat. Betul ke? Tapi jerawat tak boleh dibiarkan sebabkan kesannya sangat teruk.Tapi tahukah anda posisi jerawat boleh memberi petunjuk ataupun isyarat tentang kesihatan kita walaupun bukanlah secara menyeluruh? Menarik bukan? Jom teruskan membaca info dibawah.

Jerawat Kat DAHI

Haba badan yang melampau serta peredaran darah yang tidak baik menjadi punca kepada naiknya jerawat kat dahi kita. Orang yang ada jerawat kat dahinya selalunya memiliki sifat panas baran.
Untuk menghindari, dinasihatkan supaya menjadikan amalan untuk tidur awal serta bangun awal. Selain itu pastikan dapat tidur yang cukup dan minum air banyak.

Jerawat Kat HIDUNG

Kalau jerawat di batang hidung, ianya bermaksud tulang belakang kita mungkin bermasalah. Jika ianya di hujung hidung mungkin disebabkan haba perut melampau dan sistem penghadaman yang tidak normal.
Dan jika di salah satu hujung hidung pula boleh dikaitkan dengan ovari atau sistem reproduksi yang mempunyai masalah.

Jerawat Kat DAGU

Kalau jerawat tumbuh di dagu pula, berkemungkinan fungsi buah pinggang telah terjejas atau sistem endokrin (rembesan dalaman) lemah. Untuk kaum wanita yang mudah mendapat jerawat di sekitar dagu mungkin berpunca daripada haid yang tidak teratur dan sistem peranakan yang bermasalah.
Jerawat Kat PIPI
Jika jerawat tumbuh di pipi kiri, fungsi hati mungkin kurang lancar seperti dilanda masalah rembesan, menyahtoksin dan penghasilan darah. Jika di sebelah pipi kanan, fungsi paru-paru berkemungkinan tidak normal.

Jerawat Kat BADAN (Belakang Dan Depan)

Bagi jerawat yang tumbuh di belakang atau depan badan ianya memberi petanda kemungkinan sistem perkumuhan bermasalah, seperti terkena sembelit. Dinasihatkan supaya mengamalkan pemakanan yang sihat bagi memastikan toksin tersingkir dengan lebih baik.
Nampaknya ada yang terus menghadap ke cermin untuk melihat posisi jerawat anda. Walaubagaiman pun artikel yang dikongsikan ini adalah sekadar rujukan sahaja. Untuk mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai tahap kesihatan, anda perlulah mendapatkan rawatan dan nasihat doktor.

P/S: Tips Untuk Kulit Sihat

Anda dinasihatkan untuk minum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong sehari. Ini akan membantu anda utk menyeimbangkan suhu badan dan membebaskan toksik yang tidak dikehendaki daripada tubuh badan kita. Ia juga membantu pelawasan. HASAN

Tuesday, 29 May 2012

Puisi Sahabat



Kawan semangkuk sepiring makan,
Kawan sebantal seketiduran,
Kawan sebaya sepermainan,
Bagai kuku dengan daging,
Bagai ikan dengan air,
Bagai jarum dengan kelindan,
Ke hulu sama ke hulu,
Ke hilir sama menghilir,
Yang tahan asak dengan banding,
Yang tahan berpahit-pahit,
Kalau koyak tampal menampal,
Kalau condong sokong menyokong,
Terbakar sama hangus,
Terendam sama basah,
Tuka tak dipampas,
Mati tidak diungkit,
Sakit tidak disebut,
Salah tak ditimbang,
hutang tidak dibayar,
Bagai seibu seayah kandung,
Bagai kulit dengan isi
Bagai lukah dalam air,
Itulah kawan yang dicari,
Kawan sempit kawan berlapang,
Guntingnya tidak memutus,
Simpul tidak terungkai lagi.

Sumber: Tenas Effendy (Ungkapan Tradisional Melayu Riau, DBP 1989)
HASAN

Hidup Mesti Bersahabat



Untuk post kali ni, tak mahu mengomel banyak-banyak. Cuma nak bagi tip-tip bagaimana nak cari sahabat yang baik-baik. Adakah mesti yang kene dengan jiwa? Adakah mesti yang kaya dan banyak harta? Adakah mesti yang tampan bergaya dan yang cantik jelita? Adakah mesti yang mempunyai minat yang sama? Baik, tanpa membuang tenaga membaca celoteh, mari kita menyelami panduan yang tertulis di bawah. Jom baca...



Pertama, carilah sahabat yang berilmu:
bukan bermakna orang yang tak banyak ilmunya kita tak boleh jadikan sahabat. Begini, pilih orang yang suka mempelajari sesuatu yang baik. Lazimnya, orang yang ada keinginan dan suka menuntut ilmu ni adalah orang yang terdedah kepada kejayaan. Jadi, apa salahnya kita bersahabat dengannya dan sekurang-kurangnya tempias ilmunya itu kena kita. Tak pandai banyak, sikit pun jadilah.

Kedua, carilah sahabat yang benci kezaliman:
orang yang tak suka pada kezaliman adalah orang yang tak suka bergaduh atau cari gaduh. Kalau orang ini bersahabat dengan kita, maka kita akan selamat sebab kita tak akan bergaduh punya. Tapi jangan ambil kesempatan padanya. Orang begini sebenarnya dalam hati ada taman...cinta dan kasih sayang. Kalau bersahabat dengannya jiwa kita tak kacau, jiwa kita setenang air kolam Mak bedah sebelah rumah penulis.

Ketiga, carilah sahabat yang tidak suka mengadu bomba:
tahu apa itu mengadu bomba? Maksud terdekatnya ialah suka 'report', jaga tepi kain orang lepas tu bercerita tentang keburukan kain liman:orang tu. Mana boleh macam tu kan? Tak pandai simpan rahsia dan tak amanah. Kalau kita ada panau belakang telinga pun nk bercerita kepada orang lain. Mana aci kan? Orang yang baik ialah orang menutup keaiban orang sahabatnya dan tak cakap banyak.

Keempat, carilah sahabat yang bersifat malu:
maksud malu di sini ialah malu untuk membuat perkara-perkara jahat sebab orang macam ni sentiasa ingat tuhan. Dia tahu tuhan sentiasa memerhati tindak-tanduknya. Macam letak CCTV di dalam kelas...berani tak murid terjal nakal nak terbalikkan kerusi? Tak kan...sebab dia tahu pengetua sedang memerhatikannya. Namun begitu, malu tu berpada-pada dan bertempat, jangan sampai semua benda nak malu...haru nanti.

Kelima dan yang terakhir sekali, carilah sahabat yang pegang kepada janji:
Ini adalah satu sifat yang sukar dilakukan untuk kebanyakan homosapien(manusia). Paling senang untuk menilainya, begini, jika seseorang tidak memegang kepada janji atau mengotakannya, boleh tak orang begini membimbing sahabtnya untuk mengikut perintah dan peraturan? Sendiri mahu ingatlah, kan.

Sebenarnya banyak lagi ciri-ciri sahabat yang baik untuk dikongsikan. Tapi berpada-padalah dulu ye. Untuk mengakhiri warkah untuk kali ni, penulis nak ucapkan selamat hari lahir kepada semua pembaca. Kenapa selamat hari lahir? Sebab setiap hari kita melahirkan sesuatu yang baru dalam diri kita...dan pastikan sesuatu yang baru itu adalah sesuatu yang menambahkan amalan kebaikan kita. bye. Ditulis oleh HASAN :D

Sunday, 27 May 2012

Hubungan Remaja Dengan Ibubapa



Tidak dinafikan selain kesihatan emosi, rohani dan jasmani, sebagai seorang remaja yang inginkan keceriaan dan kebahagiaan dalam hidup, mereka perlu mempunyai hubungan erat bersama ibubapa. Telah diakui bahawa peluang untuk bersama-sama ahli keluarga adalah salah satu cara paling berkesan untuk remaja mendekatkan diri dengan ahli keluarga yang lain. Lebih-lebih lagi untuk menjalinkan hubungan akrab dengan ibu mahupun ayah.



Walau sesibuk mana pun aktiviti harian seorang remaja, anda haruslah mempunyai masa yang terluang walaupun sekejap dengan ahli keluarga anda. Dengan cara ini, akan menambahkan lagi keeratan hubungan antara anda dan ahli keluarga yang tercinta. Ciptalah sebuah ikatan kekeluargaan yang utuh dengan melakukan perkara-perkara bernas walaupun ringkas hanya untuk menguatkan ikatan antara diri anda dengan ahli keluarga anda. Ibu adalah anugerah tuhan untuk kita semua, sebagai seorang anak kita perlu menghormati dan menyayanginya kerana kasih seorang ibu membawa ke syurga.

Terdapat beberapa tips yang boleh remaja lakukan untuk mengeratkan hubungan anda bersama ibu anda. Antara tips yang anda perlu dan wajib lakukan ialah:

Jika anda kelapangan atau berkesempatan, peruntukkan masa anda untuk makan bersama-sama, khususnya makan malam. Di kesempatan itu remaja perlu memastikan bahawa televisyen telah dimatikan dan cuba elak dari menjawab panggilan telefon dari sesiapa saja kecuali kecemasan di sepanjang tempoh makan malam anda besama ibu anda.

Bantulah si ibu untuk menyelesaikan sebarang tugasan rumah yang sedang dilakukannya. Lakukannya bersama-sama ibu anda supaya sambil buat kerja, anda boleh berbual mesra dengannya. Jangan berikan ibu anda melakukan kerja-kerja berat kerana sudah menjadi tanggungjawab anda untuk membalas jasa ibu kita yang dah bersusah payah membesarkan anda.

Setiap kali pihak sekolah atau institusi pengajian anda menganjurkan sebarang aktiviti seperti pertandingan olahraga, persembahan dan sebagainya yang turut melibatkan diri anda, apa kata mengajak si ibu menyaksikannnya sekali dan ungkapkan pada si ibu yang kehadirannya memberikan anda satu semangat yang sangat bermakna. Sudah tentu si ayah tak akan mengecewakan anda.

Luangkan masa hujung minggu khususnya untuk bersantai bersama-sama. Apa kata kamu dan si ibu bermain permainan yang disukainya bersama. Sesekali tak salah jika kamu mengajak si ibu untuk turut serta dengan anda serta adik-beradik yang lain bermain Playstation bersama.

Jomlah tonton program kegemaran ibu anda. Sesekali anda boleh mengambil kesempatan itu untuk berbual mesra denagn ibu anda dengan lebih santai dan ceria. Anda boleh berbual mengenai rancangan yang disiarkan. Dengan cara inilah anda boleh beramah mesra dengan ibu anda dengan lebih rancak lagi. Kalau tak percaya, cubalah..!

Sesekali keluarlah berjalan-jalan seperti ke pusat membeli belah dengan ibu anda. Berkongsi pandangan untuk membeli barang yang diinginkan akan lebih mengeratkan hubungan anda bersama ibu anda. Keluar bersama-sama di taman rekreasi juga bagus untuk anda dan ibu anda untuk bersantai sambil menjalinkan hubungan kekeluargaan yang utuh. Kalau susah sangat, ajak la ibu anda ke kedai kegemarannya. Ambil peluang ini untuk berbual mengenai apa sahaja topik dengan ibu anda yang boleh menyenangkan hatinya.

Ini pula merupakan aktiviti yang sihat untuk anda jalani bersama ibu anda. Anda boleh meluangkan masa bersama ibu anda dengan melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti berjoging, berenang, bermain tenis atau apa-apa saja aktiviti riadah yang ibu anda suka.

Anda juga boleh mengajak ibu anda melakukan kerja-kerja sosial bersama-sama. Sambil melakukan aktiviti-aktiviti amal ini ia boleh menarik emosi si ibu untuk lebih menghargai keluarganya dan juga begitulah sebaliknya.

Apabila si ibu tiada mood dan hanya ingin duduk di rumah dan berehat sahaja, cuba usahakan untuk mengubah mood ibu anda dengan menceriakan suasana. Lakukan apa-apa aktiviti untuk menggembirakan ibu anda. Beri ibu anda rasa betapa berharganya dia di mata anda.

Setiap hari, cuba katakan kepada ibu anda bahawa anda amat menyayangi ibu anda sepenuh hati anda. Tunjukkan kasih sayang anda sedalamnya pada ibu anda. Jangan lukakan hatinya dan hargai apa jua yang ibu anda lakukan pada anda. Setiap hari ibu , berikannya kejutan. Buat apa yang terbaik untuk membahagiakannya. Mungkin cadangan memasak untuknya adalah satu idea yang baik dan membuatkan ibu kita bahagia. Ia akan mengeratkan lagi hubungan anda dengan ibu anda.

Ibu…
Siapalah daku tanpa dirimu
Walaupun kau sering memarahiku
Daku tidak pernah kecewa
Kata-katamu bak mutiara
Kerana ku tahu disebalik kekatamu itu
Terselindung secebis kasih seorang Ibu terhadap anaknya…
ku pasti setiap nasihat itu adalah untuk
kebaikan diriku…
Mengajarku erti sebuah kehidupan
Ibu…
Daku telah banyak berdosa kepadamu
Dapatkah daku membalas jasa baktimu
Yang laksana pepasir di pantai
Yang telah menyabung nyawa demi melahirkan diriku
Yang tidak jemu-jemu mendengar tangisanku semasa kecil
Dan menatap wajahku yang hina ini…
Sempena Hari Ibu
Daku berdoa ke atas kesejahteraan dirimu
Agar dipanjangkan umur dan sentiasa bahagia
Disamping keluarga tercinta…

Jangan sesekali membuatkan mereka sedih kerana anda hanya mempunyai satu sahaja ibu kandung. Ketika ibu anda masih ada, anda perlulah gembirakan hati dia. Jangan bila dia dah tiada baru anda ingin merindunginya dan menyesal kerana tidak mempunyai hubungan yang baik dengannya. Jika anda pernah membuat kesilapan pada ibu anda, jangan tunggu hari ibu dan juga hari raya baru ingin meminta maaf. HASAN

Saturday, 26 May 2012

KEYAKINAN SEORANG REMAJA




Tahukah anda dengan adanya keyakinan diri, ia dapat membantu menjadikan hidup anda lebih bahagia dan berjaya? Keyakinan diri boleh terbentuk sama ada ketika anda berdepan dengan sesuatu yang memerlukan anda untuk membuat keputusan besar ataupun bagaimana anda menyesuaikan diri dengan suasana baru serta bagaimana cara anda menentang pengaruh buruk daripada rakan sebaya.
Untuk menjadi individu yang berjaya sama ada didalam pelajaran, kerjaya ataupun hidup anda perlu yakin dengan diri anda dan tahap kemampuan anda. Untuk itu adalah amat penting untuk anda tampil yakin setiap hari supaya apa yang anda bersemangat dan bermotivasi untuk melakukan sesuatu. Tanpa ada keyakinan di dalam diri anda tidak dapat melakukan sesuatu perkara itu dengan baik.
Berikut adalah tip yang boleh anda cuba dan praktikan untuk membina keyakinan diri anda.

1) Tarik nafas dan jangan terburu-buru
Berfikiran santai dan tidak stres kepada sesuatu perkara akan membuka minda anda untuk berfikir secara meluas. Ia juga membantu anda dalam memberi idea yang lebih menarik teantang sesuatu perkara apabila anda berfikir secara terburu-buru.

2) kenal pasti kekuatan anda
Jika anda merasakan anda langsung tiada kekuatan atau kemahiran, anda boleh cuba untuk menyenaraikan apa yang amnada suka lakukan dan menjadikannya sebagai kekuatan dalam diri anda.

3) Sentiasa Berfikiran positif
Semua orang di dunia ini tidak sempurna dan mempunyai kekurangan masing-masing. Anda tidak perlu merasa rendah diri dengan kekurangan anda. Kadangkala anda merasakan bentuk tubuh anda tidak menarik tetapi harus di ingatkan, masih ada orang lain yang lagi tidak memiliki bentuh tubuh menarik daripada anda. Jadi jangan takut untuk merasakan diri anda cantik.

4) Jangan letakkan had pada diri
Satu sebab utama yang menyebabkan anda tiada keyakinan diri ialah anda meletakkan had kepada diri anda untuk melakukan sesuatu perkara. Contohnya, jika anda tidak mendapat markah tertinggi di dalam kelas, jangan fikirkan had anda hanya setakat itu sahaja.
Anda harus berusaha lebih lagi kerana usaha itu tangga kejayaan. Anda pasti akan mendapat markah tertinggi sekiranya anda berusaha bersungguh-sungguh. Yakinlah bahawa setiap orang pasti berjaya dengan adanya usaha.

5) Raikan kejayaan anda walaupun kecil
Meraikan kejayaan anda bersama-sama dengan keluarga atau sahabat handai boleh mendorong anda untuk menjadi lebih berjaya. Walaupun kejayaan anda hanyalah dengan lulus ujian memandu sekalipun ataupun anda berjaya memberikan ucapan di atas pentas, itu juga merupakan kejayaan buat diri anda.
Tidak salah untuk anda meraikannya kerana itu akan membantu anda menjadi manusia yang lebih yakin. Bukan semua orang boleh buat apa yang anda buat.

6) Hargai diri anda setiap hari
Fikirkan perkara baik yang anda buat setiap hari. Antaranya bangun awal pagi, senyum kepada orang yang tidak dikenali, menelefon dan bertanya khabar kepada ahli keluarga anda yang lain serta banyak lagi.
Itu membuktikan bahawa banyak lagi perkara baik yang anda boleh capai dalam satu hari dan ia merupakan sesuatu yang boleh anda banggakan. Anda akan boleh melangkah dengan lebih yakin dengan memikirkan tentang perkra baik yang telah anda lakukan.
Secara kesimpulannya, jadilah orang yang sentiasa yakin dalam apa jua keadaan sekiranya anda ingin menjadi orang yang berjaya. Tanpa keyakinan di dalam hidup anda apa jua yang anda lakukan memang akan menjadi sia-sia dan tidak berbaloi. Semoga anda berjaya membina keyakinan di dalam diri anda dan seterusnya menjadi orang yang berjaya dan bermotivasi.

Remaja dan kesihatan mental



Kesihatan mental adalah keadaan sejahtera, sempurna pemikiran, emosi dan tingkah laku di mana individu itu dapat berfungsi melakukan kerja sehingga mencapai matlamat. Kesihatan mental dan spiritual amat penting dalam memperkasakan remaja ke arah pengamalan tingkah laku yang sihat.



Dalam memperkatakan golongan remaja, mereka merupakan penerus kepimpinan masa hadapan negara. Hakikat inilah menjadikan golongan remaja sebagai aset yang amat bernilai bagi sesebuah negara itu. Justeru, golongan remaja mestilah bersiap sedia menangani cabaran yang akan dihadapi.

Zaman remaja yang penuh dengan pancaroba perlu diharungi dengan lebih bermakna, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menjanjikan persaingan dari semua aspek kehidupan. Golongan remaja perlu berusaha menjadikan diri sebagai warga yang bertanggungjawab dengan sihat mental dan fizikal supaya berupaya membangun potensi diri serta membantu negara meningkatkan daya saing dan produktiviti di masa hadapan.

Beban tidak tertanggung?

Alam remaja adalah alam yang begitu indah serta mempunyai pelbagai ruang untuk membangun potensi diri. Namun, apabila tidak memanfaatkan alam remaja dengan sebaik-baiknya, kita akan menanggung akibatnya apabila sudah beransur tua kelak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan bahawa 70 peratus kematian yang tidak dijangka di kalangan orang dewasa disebabkan tingkah laku berisiko yang bermula semasa remaja. Gejala yang mungkin bermula semasa zaman remaja ialah penyalahgunaan dadah, alkohol dan juga penglibatan dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

Menurut WHO di seluruh dunia, dianggarkan 20 peratus kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan. Jika 20 peratus golongan kanak-kanak ini jika tidak dirawat, mereka akan membesar menjadi golongan remaja dan dewasa yang bermasalah dan tidak seimbang.

Pada tahun 2004, kajian beban terhadap pelbagai penyakit yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati secara amnya penyakit mental merupakan penyakit kedua tertinggi selepas penyakit jantung. Menurut keputusan The 2nd National Health and Morbidity Survey yang dijalankan di seluruh Malaysia tujuh tahun yang lalu pula, 13 peratus di kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia menghadapi masalah psikiatri.

Lebih merisaukan lagi kajian yang sama mendedahkan bahawa kadar merokok dan penyalahgunaan dadah begitu tinggi di seluruh negara, terutamanya kemunculan pil-pil yang memabuk dan mengkhayalkan penggunanya.

Apatah lagi, negara pada tahun lepas dikejutkan dengan kejadian pelajar tahun enam membunuh diri kerana kecewa dengan keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendahnya. Dalam kes lain, pelajar tahun satu telah trauma dan enggan ke sekolah kerana dibelasah oleh sekumpulan pelajar tahun lima dan enam. Bagaimana pula dengan kes pelajar cuba membunuh diri dengan terjun daripada bangunan setelah kecewa dengan keputusan SPMnya beberapa tahun lalu?

Kes-kes sebegini mengundang persoalan kepada kita betapa hebatnya tekanan yang terpaksa diterima oleh mereka. Bayangkan dalam usia muda begini, tekanan yang dihadapi telah mempengaruhi mereka untuk mengambil tindakan yang tidak wajar itu.

Golongan remaja akan menghadapi masalah kesihatan mental jika tidak berupaya mengatasi tekanan yang mereka hadapi. Remaja yang mengalami tekanan mental seringkali menunjukkan tanda-tanda seperti keliru dengan peranan dan tanggungjawab diri, sering merasa diri disalahfahamkan dan dipersalahkan, merasa diri dilayan secara tidak adil, kesunyian, sukar memahami emosi, serta susah membuat keputusan.

APA ITU REMAJA ?



remaja adalah masa peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa. Zaman remaja bermula dari usia 10 hingga 19 tahun. Walaubagaimanapun, tempoh peralihan ini berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain.



Kehidupan remaja hari ini penuh dengan pelbagai permasalahan sosial yang bukan sahaja merunsingkan ibu bapa tetapi juga pemimpin negara. Banyak cara dan kaedah telah digunakan untuk menarik mereka ini ke arah kebaikan untuk menjadi insane berguna namun jalan yang salah dan hitam juga mereka pilih. Kes rogol, ragut, penyalahgunaan dadah, berpeleseran di pusat-pusat beli belah, lumba motor haram dan terbaru kes Black Metal yang mana semua ini semakin berleluasa dari hari ke hari. Mereka seolah suka membuat sesuatu yang negatif yang mendatangkan kemudharatan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Bagi pelajar yang masih bersekolah, menurut kajian yang dibuat juga 80% daripada pelajar-pelajar di sekolah menengah tidak mendirikan solat. Kalaulah kajian ini benar, sudah tentu, harapan pemimpin kita untuk melihat Wawasan 2020 tercapai masih samar. Oleh itu sebelum keadaan lebih teruk lagi berlaku, kerajaan kena pantau atau mengambil tindakan yang bersesuaian dengan permasalahan ini. Kalau tidak negara kita nanti akan menghadapi krisis identiti. Ini kerana sesebuah Negara dikenali kerana identitinya. Berbanding negara-negara lain contohnya negara Vietnam, Thailand, Filipina, Jepun masing-masing tebal dan bangga dengan budaya dan cara hidup mereka. Sepatutnya remaja Malaysia mesti bangga dan berbesar hati dengan identiti orang Malaysia. Tetapi itu tidak kelihatan. Mereka dengan mudah mengambil pengaruh dari barat sedangkan mereka tahu pengaruh dari Barat itu tidak elok tetapi disengaja perkara ini berlaku.